Wednesday, February 13, 2008

Utusan Malaysia : 13 Februari 2008

Selatan Thai diberi autonomi? -- Kerajaan mahu tamatkan krisis - Contohi wilayah autonomi China

BANGKOK 12 Feb. – Kerajaan baru Thailand sedia menimbang kemungkinan untuk memberi hak autonomi kepada wilayah-wilayah majoriti Islam di selatan bagi menamatkan konflik berdarah di sana.

Menteri Dalam Negeri, Chalerm Yubamrung berkata, pemberian autonomi merupakan antara agenda yang difikirkan oleh pentadbiran Samak Sundaravej bagi memenangi hati penduduk selatan.

“Saya ingin menegaskan bahawa pemberian autonomi bukan sesuatu yang mustahil tetapi kita perlu membincangkan apakah jenis autonomi itu,’’ kata Chalerm kepada pemberita, hari ini.

Katanya, Thailand mungkin akan menjadikan Xinjiang yang merupakan wilayah autonomi Islam di barat China sebagai model untuk menimbangkan pemberian autonomi kepada Yala, Narathiwat dan Pattani.

“Kita tidak lagi boleh membenarkan lebih ramai penduduk maut akibat keganasan di selatan dan kerana itu kita perlu mencari jalan untuk membaiki keadaan itu dan bukan hanya menunggu untuk dibunuh,’’ tegasnya.

Keganasan di tiga buah wilayah Islam di selatan Thailand sejak 4 Januari 2004 sehingga kini meragut lebih 2,900 nyawa. Ketiga-tiga wilayah itu dikuasai oleh kesultanan Melayu Islam sehingga ia menjadi wilayah kekuasaan Thailand pada 1902.

Sementara itu menurutnya, pihak perisikan percaya pejuang pemisah di selatan kini berusaha melebarkan aktiviti mereka dan kemungkinan besar akan melancarkan serangan bom di Hatyai atau Bangkok sendiri.

Kata Chalerm, kelab-kelab malam di selatan berada dalam bahaya kerana pihak pemisah melihatnya sebagai satu perkara yang bertentangan daripada ajaran Islam.

Sehubungan itu katanya, beliau akan meminta pihak berkuasa tempatan untuk menimbangkan peraturan baru berhubung “aktiviti malam di selatan.”

1 comment:

Anonymous said...

Hello. This post is likeable, and your blog is very interesting, congratulations :-). I will add in my blogroll =). If ossible gives a last there on my blog, it is about the Aparelho de DVD, I hope you enjoy. The address is http://aparelho-dvd.blogspot.com. A hug.